Sumbangan Umar bin al-Khattab

Sumbangan beliau adalah merangkumi bidang politik, sosial, ekonomi, ketenteraan dan pendidikan.

Dalam bidang politik, Khalifah Umar telah memperkenalkan dasar pentadbiran dan pelantikan pegawai. Beliau telah menubuhkan majlis syura yang dianggotai oleh wakil golongan Muhajirin dan Ansar. Beliau telah membahagikan jajahan takluk Islam kepada beberapa wilayah dan melantik wali gabenor sebagai ketua yang bertindak sebagai pentadbir awam dan panglima tentera.

Khalifah Umar juga telah menubuhkan beberapa jabatan penting seperti Jabatan Tentera, Jabatan Polis, Jabatan Percukaian dan Jabatan Perbendaharaan Negara. Setiap jabatan ini diketuai olah katib atau setiausaha. Jabatan Kehakiman pula telah dipisahkan daripada jabatan dan untuk mengelakkan salah laku oleh hakim, mereka telah diberikan gaji bulanan yang tinggi, iaitu sekitar 500 dirham.

Dalam bidang sosial terutama pendidikan, Khalifah Umar telah mengembangkan pengajaran al-Quran dengan menyediakan tempat pembelajaran di kawasan masjid dan beliau juga telah menghantar guru agama ke pelbagai wilayah untuk mengembangkan pendidikan. Contohnya, Abu Sufyan pernah dihantar untuk mengajar orang Badwi di kawasan pedalaman. Khalifah Umar telah menyusun sistem ketenteraan dengan membentuk tentera tetap dan tentera sukarela. Tentera tetap telah diberikan gaji dan pakaian seragam. Markas tentera juga telah dibina di bandar utama manakala kubu pertahan telah dibina di sempadan yang menghadap negara musuh seperti di Madinah, Kufah, Fustat dan Basrah.

Dalam bidang ekonomi, Khalifah Umar telah membina terusan dan tali air untuk menambahkan lagi hasil pertanian seperti Empangan Abu Musa di Basrah dan Terusan Amirul Mukminin sepanjang 111 kilometer di Mesir. Rakyat telah digalakkan meneroka tanah baru untuk pertanian di samping mengusahakan tanah terbiar.

Khalifah Umar juga telah memperkenalkan pelbagai jenis cukai. Cukai jizyah yang dikenakan terhadap golongan zimmi juga tidak memberatkan. Cukai kharaj pula dikenakan berdasarkan jenis tanaman dan kesuburan tanah. Bagi mengawal aliran masuk pendapatan negara melalui sistem jizyah dan kharaj, maka baitumal telah didirikan oleh Khalifah Umar. Beliau telah diberikan gelaran Amirul Mukminin atau Panglima Agung Mukmin.

Dalam bidang pemerintahan, langkah pertama yang dilakukan oleh Umat sebagai khalifah adalah meneruskan langkah yang telah ditempuh oleh Abu Bakar dalam perluasan wilayah Islam ke luar Semenanjung Arab. Pada masanya terjadi perluasan kekuasaan Islam secara besar-besaran sehingga zaman ini dengan nama Futuhat al-Islamiyah (perluasan wilayah Islam). Berturut-turut pasukan Islam berjaya menduduki Syiria, Iraq, Mesir, Palestin dan Parsi.

Di bidang pentadbiran pemerintahan, Umar berjasa membentuk Majlis Permusyawaratan, Anggota Dewan, dan memisahkan lembaga pengadilan. Dia juga membahagi wilayah Islam ke dalam 8 wilayah yang terdiri daripada beberapa daerah dan subdaerah. Lapan wilayah itu adalah Makah, Madinah, Syiria, Jazirah, Kufah, Basra, Mesir, dan Pelestin. Untuk masing-masing daerah itu, diangkat pegawai khusus selaku gabenor. Gaji mereka mengikut aturan. Selain itu, pentadbiran percukaian juga diperkemaskan.

Untuk kepentingan pertahanan, keamanan, dan aturan dalam masyarakat, didirikan lembaga kepolisian, angkatan tentera dengan tentera berdaftar. Gaji yang diberi adalah berbeza-beza mengikut tugas-tugas yang di laksanakan. Khalifah Umar juga mendirikan pos-pos tentera di tempat-tempat yang strategik.

Umar melakukan peraturan keadilan Islam. Beliaulah yang mula-mula meletakkan prnsip-prinsip keadilan dengan menyusun sebuah risalah yang disebut Dustur ‘Umar atau Risalah al-Qada’.

Maklumat ini dipetik daripada:

Tajuk: Sejarah Khalifah

Penerbit: PTS Publications & Distribution Sdn.Bhd

Pengarang: Prof. Dr.Amin Qudah